Mitos Bukan Dongeng
Apakah benar bahawa mitos itu dongeng?
Untuk tulisan kali ini, saya akan membahaskan mengenai mitos itu bukan dongeng.
Mitos atau yang disebut
juga sebagai myth merupakan sebuah prosa rakyat yang berkisarkan latar belakang
masa lampau, berkait dengan alam semesta dan makhluk yang menghuni di alam
tersebut. Malah, mitos juga dipercayai sebagai sesuatu kejadian yang
benar-benar berlaku oleh yang menganutnya atau yang empunya cerita. Secara umumnya,
mitos adalah satu dari cabang karya sastera yang berkait rapat dengan kejadian
alam semesta, dunia dan para makhluk yang menghuni, bentuk topografi, dan kisah
makhluk bersifat luar biasa. Mitos muncul sebagai bukti kejadian sejarah yang
terlalu dilebih-lebihkan, sebagai allegori atau personifikasi untuk kejadian
alam atau penjelasan mengenai ritual. Manakala, dongeng pula kisah yang biasanya
diangkat daripada pemikiran fiksyen dan kisah nyata. Dongeng selalunya diceritakan
secara turun-temurun dari generasi ke generasi.
Disini saya sertakan
beberapa pandangan tokoh-tokoh terkenal mengenai mitos yang terdiri dari
Bascom, Ahimsa-Putra, Levi-Strauss, Cremers, dan William A.Haviland.
Menurut Bascom, Mitos atau
mite (myth) merupakan cerita prosa rakyat yang dipercayai melibatkan para dewa
atau makhluk setengah dewa yang terjadi di dunia kayangan pada masa lampau dan
dianggap benar-benar terjadi. Mitos turut dipercayai berhubungan dengan terjadinya
sesuatu tempat, alam semesta, para dewa,
adat istiadat dan dongeng suci. Melalui pandangan Ahimsa Putra pula, beliau
menyatakan bahawa mitos adalah cerita yang aneh yang sukar untuk difahami maknanya
atau diterima kebenarannya kerana kisah didalamnya adalah tidak masuk akal. Levi
Strauss pula mempunyai pandangan tersendiri mengenai mitos. Beliau mengatakan
bahawa mitos merupakan suatu warisan seni yang berbentuk cerita tertentu dari
tradisi lisan yang mengisahkan dewa-dewi, manusia pertama, binatang, dan
sebagainya. Melalui yang diperkatakan oleh Cremers mengenai mitos pula adalah cerita
suci yang berbentuk simbolik, mengisahkan serangkaian peristiwa nyata dan bersangkut-paut
dengan asal-usul dan perubahan-perubahan alam, dewa-dewi, kekuatan-kekuatan luar
kudrat manusia , pahlawan dan masyarakat. William A.Haviland juga menyatakan
bahawa mitos merupakan sebuah cerita mengenai peristiwa-peristiwa semihistoris
yang banyak menerangkan masalah-masalah akhir kehidupan manusia.
Mitos mempunyai beberapa
ciri khas seperti isi dan tema kisah dihubungkan dengan asal-usul bermulanya
kejadian, benda, binatang, manusia, asal usul nama tempat dan sebagainya.
Setiap asal usul dikaitkan dengan pelbagai peristiwa tetapi dipercayai benar-benar
berlaku. Menjadi kebiasaan latar cerita yang digunakan dalam mitos adalah
seperti alam ghaib, alam langit, kayangan, dan alam kehidupan jin atau hantu. misalnya
dalam Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Ramayana dan Mahabrata
yang mengandungi unsur-unsur ghaib dan luar biasa. Watak adalah terdiri
daripada Tuhan, dan dewa dewi sebagai watak bukan manusia malah terdapat juga
watak binatang dan manusia. Manakala cerita dongeng biasanya diceritakan dengan
alur yang sederhana dan tidak rumit seperti novel atau cerpen. Penulisan adalah
lebih singkat, cepat dan tidak berbelit-belit. Ketika menceritakan kisah atau
ceritanya, karakter sesebuah watak itu biasanya tidak dijelaskan secara
terperinci seperti mitos.
Mitos mempunyai
fungsi-fungsinya yang tersendiri, salah satunya adalah, sebagai alat untuk
mengagungkan dan memuliakan golongan raja-raja. Masyarakat silam mempercayai
bahawa golongan raja mempunyai kuasa yang luar biasa yang dianggap bersetaraf
dengan dewa-dewi.
Kesimpulannya, mitos
adalah warisan seni yang kisahnya dianggap nyata bukan direka-reka serta
dipercayai oleh ramai orang kerana sifatnya yang bersangkut-paut dengan
asal-usul atau sejarah sesuatu lokasi.


Comments
Post a Comment