Ulasan ringkas 'Seni untuk seni' dan 'Seni untuk masyarakat'

               Dasar dan tujuan penubuhan Asas 50 (Angkatan Sasterawan 50) tidak ada menyatakan mengenai konsep mahupun tujuan tegas dalam sastera. Malah, tidak ada juga menyatakan mengenai 'seni untuk masyarakat' ataupun 'seni untuk seni'. Namun setelah lima tahun ASAS 50 ditubuhkan, lambang dan motto kemasyarakatan dan kerakyatan akhirnya dicantumkan dengan rasminya dalam tujuan ASAS 50 yang mengatakan bahawa bahasa dan sastera merupakan suatu alat perjuangan perpaduan rakyat yang membawa kepada kemerdekaan dan kemakmuran masyarakat.
             Sebelum motto dan lambang ini dicantumkan, ASAS 50 merupakan sebuah pertubuhan yang mempunyai dua cabang ideologi yang berbeza iaitu  'seni untuk seni' yang diperjuangkan oleh Hamzah Hussein dan Asyraf dengan ideologinya 'seni untuk masyarakat'. Penghasilan tulisan kritikan ASAS 50 pada ketika itu lebih memperjuangkan slogan Asyraf 'seni untuk masyarakat' menyebabkan Hamzah Hussein keluar dari ASAS 50.
             Berdasarkan pandangan tersendiri saya, slogan Hamzah adalah kurang relevan. Seni yang dihasilkan adalah sepatutnya dapat mendatangkan manfaat positif dalam membangunkan, memotivasikan ataupun menegakkan sesuatu keadilan kepada masyarakat. Seni yang dicipta seharusnya mempunyai tujuan tersendiri yang bukan sahaja mendatangkan kepuasan kepada si penulis, bahkan kepada masyarakat juga. Hal ini jelas menunjukkan bahawa saya agak menyokong kepada slogan yang diperjuangkan Asyraf iaitu 'seni untuk masyarakat'.
             Beberapa perkara yang telah dilakukan oleh ASAS 50 selaras dengan konsep 'seni untuk masyarakat' adalah menerusi penghasilan cerpen. Cerpen-cerpen yang dihasilan banyak menyentuh mengenai darurat, soal nasib kaum buruh, dan ketidakadilan sosial. Para cerpenis ASAS 50 adalah seperti A. Samad Said, Keris Mas, dan juga Awa nil-Sarkam. Bahkan, penulis ASAS 50 turut bergiat cergas dalam bidang penulisan sajak. Penyajak ASAS 50 seperti Usman Awang dengan sajaknya, Nelayan, Gadis Kuburan, Pak Utih, Nasib Buruh dan Ke Makam Bonda, serta sajak yang dihasilkan oleh Mahsuri SN seperti Antologi Puisi Baru, Warna Suasana dan Awan Putih. Kesemua sajak ini membawa persoalan mengenai perjuangan kemerdekaan, nasib buruh dan kemiskinan para petani. Sajak-sajak ini banyak disiarkan dalam akhbar serta majalah Hiburan, Mutiara, Kencana, Utusan Zaman dan Mastika.
            Kesimpulannya, kesemua penulisan yang telah dihasilkan oleh para penulis ASAS 50 adalah banyak menyentuh mengenai persoalan yang berkaitan dengan masyarakat sesuai dan selari dengan slogan 'seni untuk masyarakat'.
           Sekian dari saya, Alenscia, ingin mengundur diri terlebih dahulu.

Comments

Popular Posts