Kritikan terhadap antologi Sajak Pendosa yang diselenggara oleh Lokman Abdul Samad


1. Pengenalan

Antologi Sajak Pendosa merupakan kompilasi sajak yang bertemakan ketuhanan dan keagamaan. Setiap sajak yang ditulis itu mempunyai perspektif serta gambaran yang berbeza-beza mengikut apa yang ingin disampaikan oleh penulis didalam sajaknya. Penulis cuba untuk memberikan gambaran kepada manusia yang terlalu taksub akan perihal duniawi hingga melupakan amanat mereka untuk sentiasa taat kepada Tuhan. Setelah mengamati beberapa sajak yang dihasilkan, saya mendapati bahawa, para penulis sebenarnya cuba untuk memberi kesedaran kepada manusia untuk bangun dari kelalaian dan kembali mendekatkan diri kepada yang maha esa.  

2. Latar Belakang Kajian

Sebuah buku hasil karya dari beberapa orang penulis yang sudah lama berkecimpung dalam bidang penulisan dengan penulis baru mulai berjinak-jinak dalam bidang ini telah menghasilkan sebuah buku yang diberi tajuk Antologi Sajak Pendosa. Buku ini telah diselenggara oleh seorang pensyarah dari Blok Seni Universiti Malaysia Sabah. Insan yang bernama Lokman Abdul Samad merupakan orang yang dimaksudkan. Antalogi Sajak Pendosa ini menghimpunkan sebanyak 79 buah sajak yang kesemuanya adalah berunsurkan ketuhanan. Dikhabarkan bahawa, buku ini telah menerima banyak persoalan dan tafsiran terutamanya mengenai judul buku itu sendiri, Sajak Pendosa. Antara persoalan yang diajukan adalah, mengapa memilih tajuknya yang sedemikian? Persoalan terjawab dari mukadimah buku itu sendiri yang ditulis oleh Lokman Abdul Samad, ‘dosa adalah salah satu rantai rohani yang membelenggu manusia. Apakah ada insan suci yang tidak pernah berbuat dosa? Benar setiap jiwa pasti ada berbuat dosa. Tapi berapa ramai yang percaya bahawa tanpa dosa, kita takkan kenal ampunan Yang Maha Esa.’ Sudah jelas, mukadimah itu menjadi jawapan kepada persoalan mengapa memilih Sajak Pendosa sebagai tajuk.

3. Permasalahan Kajian

Didalam Sajak Pendosa ini, saya mendapati bahawa terselit sedikit bait-bait sesalan manusia terhadap perkara yang mereka telah lakukan didalam hidup. Malah, dalam buku ini juga ada menggambarkan kelalaian manusia sehinggakan mereka terkeluar dari landasan agama. Dalam puisi Rindu dan Cinta, hasil karya Mohd Suhaimi Md Yasin, menceritakan mengenai insan yang selalu mengingati Tuhannya. Betapa rindu dan cinta seorang insan itu kepada penciptanya yang agung. Melalui pembacaan saya terhadap puisi ini, akan timbulnya kesedaran dalam setiap jiwa yang membaca puisi ini secara lebih dalam. Sedar untuk selalu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mengingati suruhan-Nya. Oleh itu, permasalahan kajian dapat dilihat pada tindakan dan reaksi seseorang pembaca terhadap mesej yang disampaikan oleh penulis.

4. Perbincangan dan Analisis

Pengkaji mendapati bahawa, puisi sememangnya sesuatu kaedah yang berkesan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menilai kehidupan mereka. Penggunaan unsur-unsur sindiran dan kritikan yang digunakan penulis didalam puisi mereka mampu untuk menimbulkan nilai kesedaran yang mnedalam dalam jiwa pembaca. Tema untuk puisi dalam buku ini juga ada memasukkan unsur kemasyarakatan yang memudahkan pembaca untuk memahami dengan lebih mendalam. Dalam perbincangan ini memperlihatkan sikap masyarakat yang leka dalam mengejar duniawi sehingga semakin jauh dari Tuhan.
Pemikiran yang ada pada puisi ini adalah berlandaskan soal kemasyarakatan.  Malah, persoalan yang diajukan oleh penulis juga adalah untuk membawa kesedaran kepada masyarakat terhadap diri mereka yang tidak mengutamakan keagamaan.

5. Dapatan Kajian

a. Dalam puisi Rindu dan Cinta, karya Mohd Suhaimi Md Yasin, saya menyedari bahawa yang sebenarnya penulis cuba untuk sampaikan adalah betapa rindu dan cinta itu sentiasa mengingatkan dirinya kepada Tuhan, dan bukannya kepada manusia semata-mata. Jelaslah, masyarakat seharusnya sentiasa mendekatkan diri mereka kepada-Nya dan takkan pernah melupakan apa lagi meninggalkan Dia.

Rindu itu, ingatkan aku pada-Nya,
Rindu itu, ingatkan aku kata-kata-Nya,
Rindu itu, ingatkan aku tentang-Nya,
Rindu itu, ingatkan aku kasih pada-Nya.

Kita dapat melihat bahawa, dalam apa pun yang kita lalui atau lakukan dalam hidup, kita jangan sekali-kali melupakan Dia yang telah menciptakan kita. Semakin hari, kita seharusnya semakin mendekatkan diri kita kepada-Nya.

b. Puisi seterusnya yang berjudul Manusia, karya Mohd Suhaimi Md Yasin. Dalam tulisan yang tersemat menjadi puisi ini menggambarkan penulis cuba untuk memberitahu pembacanya untuk sentiasa mensyukuri segala nikmat yang disediakan Tuhan kepada dirinya. Namun, manusia belum mengenal dengan lebih mendalam mengenai kewujudan Tuhan yang padahal merupakan cinta sejati.

Manusia,
Tanya dirimu,
Mana puncanya semua itu, mana puncanya segala nikmat.
.....
Manusia,
Sungguh indah rindu pada-Nya,
Kenallah diri, kenallah diri,
Kelak kenal wajah-Nya,
Itulah cinta sesempurna cinta.

Boleh difahami bahawa penulis yang sebenarnya cuba untuk menasihati pembacanya untuk bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh-Nya. Tetapi, digambarkan dalam puisi ini, pada rangkap yang ketiga, manusia masih mencari-cari akan kewujudan Tuhan. Akhirnya, penulis menasihati lagi, manusia hendaklah mengenali Tuhannya dengan mendekatkan dirinya kerana, dikatakan oleh penulis bahawa cinta kepada Tuhan adalah cinta yang sempurna lagi sejati.

c. Apa Yang Dicari Lagi tajuk kepada puisi yang dihasilkan oleh seorang penulis bernama Adnin merupakan sebuah puisi yang menggambarkan tentang manusia yang tamak, dan tak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Sentiasa saja mau lagi dan lagi untuk memenuhi kemahuan nafsu. Penulis cuba untuk memberikan gambaran bahawa manusia ini sentiasa sibuk mengejar perihal duniawi sehingga saja Tuhannya diketepikan yang pada halnya Tuhan lah tempat ia meminta akan sesuatu yang baik. Penulis menyampaikan mesejnya kepada pembacanya untuk berfikir mengenai setiap tindak tanduk mereka yang membawa mereka jauh dari jalan sebenar.

Tuhan tak pernah sembunyi,
Insan menzalimi diri sendiri,
Insan memilih sendiri,
Lari untuk menyakini

d. Sebuah puisi yang dihasilkan oleh Adiaulhaq bertajuk Syahid Dalam Amarah memberi gambaran mengenai manusia yang selalu tewas dengan hawa nafsunya. Manusia yang merasakan ia harus mengejar harrta didunia fana dan tidak mementingkan harta sejati yang dijanjikan oleh-Nya kepada manusia patuh akannya di akhirat. Penulis menyeru masyarakat untuk kembali pada jalan yang benar, jalan yang menuju ke syurga. Penulis juga memberi mesej kepada pembaca agar tidak terlalu mengejar kemahuan yang takkan pernah tercukupi, tetapi hendaklah sentiasa mengejar untuk mendekati Dia yang agung.

Dunia alam khayalan,
Dunia macam syurga,
Hawa nafsu tidak mahu kembali,
Menghadap Dzat yang suci.

e. Hajirikusyuk penulis kepada puisi bertajuk Bersama Tuhan, merupakan sebuah puisi yang mengingatkan pembacanya bahawa Tuhan sentiasa ada, dimana pun kita berada. Kedudukan-Nya adalah tidak kelihatan, tetapi dirasai. Apabila insan itu sudah menyedari bahawa Tuhan itu tidak pernah sekalipun jauh daripada dirinya, dia sudah tidak tercari-cari kewujudan-Nya, kerana, ditulis dalam puisi Bersama Tuhan ini, Tuhan itu ada berada dekat dengan umatnya, tidak kira ketika suka, duka, sakit mahupun sihat manusia itu, Dia setia disisi.

Allah itu tidak terpisah
Oleh jauhnya jarak
Dan tidak terikat oleh ruang dan waktu
Jauhnya tidak berjarak
Dan dekatnya tidak bersentuhan

6. Penutup

Melalui kelima-lima puisi indah lagi bermakna yang telah saya amati, saya mendapati bahawa setiap puisi yang dihasilkan menyajikan mesej yang berbeza-beza. Setiap mesej itu menyeru manusia untuk berubah menjadi umat yang baik dan setia. Mesej yang ada pada setiap puisi yang saya baca adalah mudah untuk difahami, dan memberikan impak kepada jiwa saya sendiri, sebagai pembaca.
Kesimpulannya, melalui perspektif peribadi saya sendiri, puisi merupakan satu alat yang sesuai digunakan untuk menyedari masyarakat melalui mesej yang cuba disampaikan dalam puisi itu. Sememangnya, untuk menjadi seorang penulis puisi haruslah mempelajari tentang masyarakatnya terlebih dahulu untuk menghasilkan puisi berkesan dan beremosi. Oleh itu, selayaknya karya-karya penulisan diterajui oleh anak-anak muda terutamanya demi kepentingan ilmu kesusasteraan.

Sekian dari saya, anak muda mengejar sekeping kertas ijazah dalam bidang seni, ingin mengundur diri.  


Comments

Popular Posts